LinkShare  Referral  Prg

Popular Posts

11/14/2008

Langkah-langkah yang penting sebelum mengajar :


Sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, terdapat beberapa langkah yang harus diberi perhatian oleh seorang guru. Ianya bagi memastikan objektif yang disasarkan akan tercapai dan murid-murid lebih tertarik serta bersemangat untuk belajar.

1- Objektif 2- Pengetahuan Sedia Ada
3- Bahan Bantu Mengajar 4- Set Induksi
5- Pemilihan Isi Pelajaran


Objektif :

Objektif pengajaran dan pembelajaran adalah hasil perlakuan murid-murid setelah mereka didedahkan kepada suatu proses pengajaran pembelajaran. Guru hendaklah menyatakan secara tepat dan jelas bagi setiap pengajaran yang dirancang berasaskan tajuk-tajuk yang dikenal pasti khususnya pembelajaran kemahiran mendengar.


Objektif pengajaran dan pembelajaran hendaklah ditulis selaras dengan objektif sukatan pelajaran.Oleh itu, objektif pengajaran menjadi panduan asas supaya proses pengajaran dan pembelajaran tidak menyimpang daripada tujuan yang telah ditetapkan.
Kejelasan objektif pengajaran membolehkan guru membuat satu perancangan yang rapi untuk melaksanakan pengajarannya dalam bilik darjah. Guru juga boleh menyusun dan menulis isi pengajaran yang selaras dengan objektif. Oleh itu, guru dapat menyampaikan isi pengajarannya berasaskan objektif yang ditentukan terutama sekali memberi penekanan kepada kemahiran mendengar.


Selain daripada itu, guru juga dapat menyusun dan memilih strategi pengajaran yang sesuai untuk memastikan objektif tercapai. Kejelasan objektif pengajaran membolehkan guru mengemukakan soalan-soalan secara lisan atau bertulis untuk mengukur samada objektif telah tercapai atau sebaliknya. Objektif pengajaran yang jelas juga membolehkan guru mengukur prestasi pengajarannya.


Pengetahuan Sedia Ada


Guru perlu mengenalpasti pengetahuan sedia ada pada murid-murid semasa membuat persediaan mengajar. Ini adalah untuk menentukan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Pengetahuan sedia ada merangkumi unsur-unsur seperti perkara-perkara yang pernah murid pelajari, pengalaman, aras motivasi dan kebolehan mental murid. Pengetahuan sedia ada juga dikenali sebagai pengetahuan lepas.Ia merupakan pengetahuan, pengalaman, kebolehan dan kemahiran yang terdapat pada murid sebelum mereka mempelajari pelajaran yang baru. Kesemua perkara ini perlu diambil kira sebelum guru dapat menentukan objektif, isi pelajaran, aktiviti pengajaran- pembelajaran, sumber pengajaran-pembelajaran dan aktiviti susulan yang berkaitan.


Pengetahuan sedia ada membolehkan guru menentukan objektif pelajaran secara realistik serta boleh dicapai. Guru juga boleh menyediakan isi pelajaran yang seimbang dengan kebolehan murid. Sementara murid pula dapat mengikutinya dengan baik. Guru boleh menyediakan sumber pengajaran-pembelajaran yang sesuai dengan murid dan sejajar dengan kebolehan murid.


Pengetahuan sedia ada amat penting supaya guru mudah memilih strategi pengajaran-pembelajaran ke arah menjadikan pengajaran-pembelajaran lebih berkesan. Aktiviti-aktiviti pembelajaran termasuk aktiviti susulan yang sesuai serta berkesan dapat dirancangkan sekiranya pengetahuan sedia ada murid dapat dikenal pasti.


Melalui pengetahuan sedia ada murid, guru mampu merancang dan melaksanakan pemeringkatan isi pelajaran mengikut urutan yang logik. Guru juga boleh memindahkan topik pengajarannya mengikut kesesuaian berdasarkan tahap pencapaian murid. Pembelajaran murid juga lebih berkesan dan bererti sekiranya guru dapat mengaitkan pengajarannya dengan pengetahuan sedia ada murid kerana ini mempercepatkan lagi pemahaman murid.


Bahan Bantu Mengajar


Alatan mengajar merupakan segala kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah. Untuk pembelajaran kemahiran mendengar, bahan bantu mengajar amat penting supaya murid dapat menguasai kemahiran yang hendak diajar. Alatan mengajar tidak terhad kepada buku-buku teks, papan tulis dan gambar-gambar sahaja, tetapi juga merangkumi segala benda yang boleh digunakan dalam pelajaran yang dapat dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu dan sebagainya. Alatan mengajar merupakan apa-apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid (Kamaruddin Hj. Hussin, 1986)


Penggunaan bahan bantu mengajar dapat mengawal dan mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar dan kekurangan masa terutamanya dalam jumlah bilangan murid yang ramai. Dalam pembelajaran kemahiran mendengar, radio dan LCD amat penting untuk membantu murid-murid memahami isi pelajaran yang diajar. Murid-murid juga dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Melalui bahan bantu mengajar, dapat mepertingkatkan minat murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga dapat mengekalkan ingatan murid terhadap isi-isi pengajaran yang dipelajari.


Set Induksi


Set induksi ialah kumpulan tindakan atau aktiviti untuk memperkenalkan sesuatu. Dalam pengajaran, set induksi ialah tindakan-tindakan dan penyataan guru yang bertujuan menghubungkan pengalaman murid dengan objektif-objektif dalam sesuatu pelajaran. Ianya bertujuan untuk menarik perhatian serta mendorong murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam kemahiran mendengar, set induksi adalah penting untuk menarik minat murid mendengar apa yang ingin dipelajari atau perkara yang menyeronokkan murid.


Membawa dan menunjukkan sebuah kotak berisi barang, lalu dibunyikan berkali-kali adalah satu set induksi yang menarik. Murid mendengar dengan teliti dan cuba meneka apa isi di dalam kotak. Antara tujuan set induksi adalah untuk mendapatkan perhatian serta menarik minat murid terhadap topik pelajaran yang akan disampaikan oleh guru.
Selain daripada itu, ia juga boleh meletakkan murid dalam keadaan bersedia dan bersama-sama melibatkan diri sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Murid juga dapat mengingati kembali isi-isi pelajaran yang lalu. Guru juga dapat membentuk satu rangka penyusunan idea-idea, prinsip-prinsip atau maklumat yang akan mengikuti pengajaran.


Pemilihan isi pelajaran


Pemilihan isi pelajaran hendaklah sesuai dengan objektif pelajaran. Isi yang tidak sesuai dengan objektif menyebabkan objektif pelajaran yang telah ditentukan tidak dapat dicapai denagn baik sekaligus menggagalkan pembelajaran. Isi pelajaran hendaklah sesuai dengan sukatan pelajaran yang berasaskan tajuk pelajaran yang sebenar. Oleh itu, guru hendaklah memastikan isi pengajarannya bersesuaian dengan tajuk. Bagi menerapkan kemahiran mendengar di kalangan murid-murid, guru perlu pastikan ianya sesuai dengan tahap murid dan isi pelajaran yang hendak diajar .


Pemilihan isi pelajaran juga hendaklah sesuai dengan peruntukan masa yang sebenarnya. Isi pelajaran yang terlalu banyak menyebabkan guru terpaksa menyampaikan pengajarannya dengan cepat. Ini menyebabkan murid tidak dapat mengikuti pengajaran dengan baik dan seterusnya menjejaskan kefahaman mereka. Begitu juga jika isi pelajaran terlalu sedikit, menyebabkan guru dapat menghabiskan pengajarannya lebih awal dari masa yang ditetapkan. Ini menyebabkan murid bermain atau kurang berdisiplin.

No comments:

Post a Comment


1. Berilah Teguran/Komentar Walau Sepatah Kata..
2. Komenlah Dengan Nama dan Blog Sendiri
3. Boleh Guna Kod² Seperti Ini < b >, < i >, < a >

Followers

[:: sembang-sembang ukhuwwah ::]


ShoutMix chat widget